Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong, berpeluang untuk memecahkan rekod kebangsaan buat kali kedua tahun ini apabila menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan, bermula Ahad ini.

Jackie bermula garang tahun ini apabila memperbaharui rekod kebangsaan dengan melakukan 66.01 meter dalam Terbuka Malaysia bulan lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu membuat persiapan lebih rapi di bawah kendalian jurulatih, Gu Yuan, untuk mencabar Terbuka Korea.

Jika gagal, dia berpeluang melakukannya dalam program latihannya di Jerman apabila dijadual menyertai empat kejohanan di sana.

"Mungkin saya akan mengambil bahagian dalam Terbuka Korea dahulu. Selepas itu, saya akan ke Jerman untuk menjalani latihan selama 50 hari," ujarnya.

Sasaran utama Jackie di Korea Selatan dan Jerman ialah melepasi jarak 67 meter.

Andai berjaya dicapai, ia mampu meletakkan pemegang rekod Sukan SEA itu sekurang-kurangnya di tempat keenam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Pencapaian itu dianggap baik bagi seorang atlet yang membuat penampilan sulung dalam temasya sukan berkenaan.

"Saya rasa dalam Sukan Asia, sekurang-kurangnya catatan 70 meter baru dapat pingat.

"Jadi, saya sasarkan untuk masuk pusingan terakhir dan harap-harap boleh menduduki tempat keenam atau ketujuh," katanya lagi.