Pertahanan hoki negara, Izad Hakimi Jamaluddin, menyuarakan kesediaan untuk kembali menyarung jersi negara dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan, selepas hampir pulih daripada kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama enam bulan.

"Lutut saya tidak berasa sakit lagi.

"Proses pemulihan saya sudah mencapai 100 peratus dan ketika ini saya sedang cuba mendapatkan semula tempo permainan," katanya.

Skuad hoki negara berpeluang mengasah taring selepas hari raya ini apabila dijadual menjalani kem latihan di Perth, Australia.

"Saya yakin akan menyertai perlawanan persahabatan di sana dan saya masih mempunyai tempoh dua minggu untuk bersedia," ujarnya.

Keutamaan skuad hoki negara tahun ini adalah Sukan Asia dengan juara akan mengesahkan slot automatik ke temasya Tokyo 2020.

Sehubungan itu, Izad meluahkan keyakinan bahawa skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu akan menurunkan barisan paling mantap.

"Saya yakin akan terpilih dalam Sukan Asia untuk membantu skuad hoki negara.

"Ia medan penting buat kami melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020. Saya begitu teringin untuk bermain dalam Sukan Olimpik bagi mengikuti jejak langkah abang saya (Roslan)," tambahnya.