Profesor Madya Dr. Wirdati Mohd Radzi dijangka melaporkan diri di Pejabat Pesuruhjaya Sukan minggu depan, sekali gus diharapkan dapat menyelesaikan deretan isu dalaman persatuan sukan kebangsaan yang berlarutan sejak awal tahun ini.

Spekulasi mengenai kelewatan Dr. Wirdati melaporkan diri di Bukit Jalil kini terjawab.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengesahkan pensyarah kanan Universiti Malaya itu akan mula bertugas minggu depan, hampir tiga bulan selepas diumumkan sebagai pesuruhjaya sukan (PJS) yang baru.

"Dalam bab ini, bagi pihak saya, saya telah menurunkan tandatangan sejak awal lagi.

"Tetapi dia perlu menjalani pemindahan di universitinya dan selepas itu perlu melalui JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).

"Saya siap sudah bawa kes ini ke Kabinet, terpaksa sebab kelewatan seperti ini memang menjejaskan kelangsungan kerajaan.

"Baru pagi tadi saya dapat mesej, ia kata minggu depan.

"Saya nak tengok minggu depan macam mana, kalau ada masalah lagi, seseorang mesti dipertanggungjawabkan," kata Syed Saddiq selepas Sidang Parlimen hari ini.

Antara sukan yang sedang berdepan masalah dalaman ialah petanque, kanu, karate dan jujitsu.

Buat masa ini, atlet petanque dan jujitsu sudah didaftarkan di bawah tiket Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai Sukan SEA Filipina, November depan.

Situasi itu mencerminkan kelemahan pegawai persatuan sukan kebangsaan dalam menjalankan urus tadbir demi kepentingan atlet negara.