Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri Shahidan Kassim, tidak menganggap isu doping dan kes rogol yang menyelubungi atlet akuatik sebagai penghalang sukan itu muncul antara lubuk emas sukan negara.

Sukan akuatik muncul selaku penerima sumbangan terbesar dengan jumlah RM427,750 menerusi kutipan 20 pingat emas dalam Sukan SEA, Ogos lalu.

Tegas Shahidan, ia merupakan bukti terbaik untuk menggariskan bahawa sukan itu tidak terjejas di sebalik kemelut yang menyelubungi mereka ketika ini.

Sejumlah 20 pingat emas masih milik Malaysia dan sebagai badan induk, ASUM akan cuba sedaya-upaya untuk mempertahankan kutipan itu walaupun isu doping membabitkan Wendy Ng Yan Yee menyaksikan Malaysia bakal kehilangan satu emas daripada acara 3 meter papan anjal seirama dengan seorang lagi penerjun negara, Nur Dhabitah Ismail.

“Kami akan memberikan keadilan kepada semua pihak. Bagaimanapun, kami telah memenangi 20 pingat emas dan ingin memastikan ia masih berada di pihak Malaysia,” kata Shahidan.

ASUM sedang menunggu keputusan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menentukan sesi pendengaran berhubung kes itu.

"Kami sedang menunggu bilakah proses pendengaran SEAGF akan dilangsungkan. Ia adalah langkah pertama.

“Selepas itu, terpulang sama ada ia akan diputuskan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) atau memberikan kami sendiri kuasa untuk membuat keputusan,” kata Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chan.