Ketua Unit Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, menyifatkan empat atlet dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 yang diuji positif masih kurang kesedaran mengenai bahan terlarang, lantas mudah terjebak dalam insiden itu.

Selepas tiga atlet Sukma Perlis 2014 disahkan positif doping, insiden yang sama berulang di Sukma Sarawak, kali ini melibatkan empat atlet.

Nishel tidak menjangka perkara ini mampu berulang dengan usaha berterusan ADAMAS menyedarkan atlet dalam soal doping sehingga tiada sebarang kes doping berlaku sewaktu Sukan SEA 2015.

Tetapi, ia kemudiannya berlaku sekali lagi tahun ini apabila atlet di peringkat negeri mengambil mudah dan tidak belajar daripada apa yang pernah berlaku dua tahun lalu.

"Saya ingat dapat meneruskan momentum bebas doping seperti di Sukan SEA 2015 tetapi perkara ini masih lagi berlaku.

"Yang menyedihkan, atlet memanah yang positif sibutramine. Ini kerana bahan terlarang sibutramine dan prestasi tiada kena-mengena.

"Ini memang satu kerugian," katanya.

Bahan berkenaan dikesan dalam pil pelangsing badan dan tidak dijual di Malaysia. Ia dipercayai diperoleh melalui pembelian di atas talian.

"Sibutramine adalah pil pelangsing. Perkara ini pernah berlaku sebelum ini dalam Sukan Asia 2014 yang mengaitkan atlet wushu negara, Tai Cheau Xuen.

"Sebelum ini, memang banyak kesedaran yang telah diberi, termasuk dalam surat khabar.

"Sekurang-kurangnya atlet ini patut tahu kerana pil pelangsing memang terkandung bahan terlarang," tambahnya lagi.

Bagi atlet pula, kekurangan pemahaman mengenai ubat-ubatan dan pil pelangsing juga menyumbang kepada punca isu doping turut berlaku dalam Sukma Sarawak.

"Atlet perlu ambil langkah berjaga-jaga. Mungkin yang kena itu atlet negeri yang tidak ada info lebih lanjut mengenai pil pelangsing.

"Mungkin mereka tak berasa apa-apa, dan akhirnya tersangkut apabila doping rambang dijalankan.

"Lepas ini, atlet patut lebih berhati-hati mengenai kandungan pil tersebut," kata atlet memanah, Nur Afisa Abdul Halil.

Seorang lagi atlet memanah negara, Nur Husna Nadhirah, juga sependapat mengenai isu doping itu dengan berkata, "Jika seseorang atlet menunjukkan prestasi yang tinggi, dia akan dipanggil untuk ujian doping secara rambang.

"Benda ni boleh memberi kesan apabila perkara seperti ini terjadi."

"Sudah banyak kempen kesedaran kepada kesemua atlet. Mungkin benda itu terlepas pandang, ia bergantung kepada individu," kata jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail.