Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) turut diheret dalam kancah doping apabila dua atlet dikesan positif sibutramine hanya beberapa hari selepas arena sukan negara digemparkan dengan kes doping dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Perkara itu disahkan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Dua atlet, masing-masing daripada silat dan olahraga, dikesan positif sibutramine selepas menyertai SUKIPT 2016 di Skudai, Johor, awal tahun ini.

Apa yang mengejutkan, ini kali pertama SUKIPT dicemari kes positif doping sejak edisi pertama pada 2012.

"Memang betul semasa di SUKIPT, kami dipanggil untuk membuat ujian.

"Semasa SUKIPT itu, kami mendapati dua atlet telah mengambil bahan terlarang itu," dedah Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar.

Kewujudan kes doping SUKIPT membuktikan atlet dan jurulatih peringkat akar umbi masih cetek pengetahuan mengenai bahan terlarang.

Wujud juga persoalan adakah atlet sengaja mengambil sibutramine kerana bahan itu tidak dijual di Malaysia secara sah.

"Sebelum ini kami hanya khusus kepada atlet kebangsaan dan pelapis. Tetapi sekarang Sukma ada kes lagi dan telah merebak ke peringkat negeri.

"Kemudian apabila ke peringkat universiti, masih ada atlet yang terbabit dengan bahan terlarang ini.

"Jadi, kami perlu pergi ke peringkat akar umbi untuk memberi pemahaman."