Institut Sukan Negara (ISN) menolak dakwaan penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, yang mendakwa tidak diberi bantuan secukupnya sehingga menjejaskan prestasi atlet dan digugurkan daripada Program Podium.

"Saya percaya banyak sebab untuk orang berasa kecewa.

"Anda haruslah mengubah sikap mengenai bagaimana anda menangani perkara ini.

"Standard Program Podium adalah tinggi, saya tidak mahu bercakap mengenai individu tertentu kerana ia tidak adil, tetpai saya mahu mengulas perkara ini secara keseluruhan bagi mereka yang terlibat.

"Kami telah berbincang dan membimbing mereka untuk bagaimana menerima keputusan ini dan meningkatkan prestasi mereka," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Nur Ayuni menyuarakan perasaan tidak puas hati selepas digugurkan daripada Program Podium minggu lalu, selain mendakwa ISN menggugurkan mereka secara mengejut tanpa berbincang.

Selain Ayuni, Nur Suryani Mohd Taibi, Muslifah Zulkifli dan Mohd Ezuan Nasir Khan turut digugurkan dan secara tidak langsung menyaksikan tiada penembak negara tersenarai dalam Program Podium.

Seramai 12 atlet digugurkan daripada Program Podium, termasuk tiga atlet berbasikal Para negara, empat atlet pelayaran Para negara dan pemanah, Atiq Bazil Bakri.

"Saya boleh bagi jaminan bahawa proses pemilihan Program Podium ini berlaku secara adil sepenuhnya.
"Semua atlet berpeluang untuk menyertai Program Podium tetapi mereka haruslah menepati kriteria yang diperlukan.

"Kalau mereka gagal memenuhi kriteria yang diperlukan, mereka akan digugurkan.

"Ia bukan tempat yang selamat untuk atlet buat selamanya, mereka harus membuktikannya."

Terdahulu, Newenham melancarkan Program Prestasi Gaya Hidup Atlet di Bukit Jalil, hari ini.

Dua penasihat dilantik bagi membimbing atlet bukan sahaja untuk melonjakkan prestasi mereka di tahap terbaik tetapi juga gaya hidup atlet secara peribadi.