6,075 kes positif COVID-19 dicatatkan dalam negara hari ini -- rekod tertinggi sejak pandemik sejagat itu melanda negara Mac tahun lalu -- menggambarkan betapa situasi di seluruh negara kian membimbangkan, termasuk keselamatan atlet yang sedang mempersiapkan diri bagi kejohanan besar tahun ini.

Sehubungan itu, jumlah atlet yang akan menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) akan dikurangkan secara mendadak dengan hanya tertumpu buat mereka yang berada dalam Program Road to Tokyo (RTT) dan atlet senior kebangsaan.

Program latihan secara gelembung sukan akan kembali mengambil alih dalam masa terdekat susulan peningkatan kes positif koronavirus, terutama situasi yang amat membimbangkan di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini mengesahkan pihaknya sudah bersiap sedia mengawal penularan wabak itu dalam kalangan atlet, termasuk dengan penggunaan alat pelindung diri (PPE) ketika melakukan rawatan.

"Hasil perbincangan di antara pihak MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN, antara langkah pertama yang akan dilaksanakan secara bersama adalah dengan mengadakan latihan berpusat secara kuarantin.

"Ia akan dilaksanakan segera, di mana setiap atlet perlu mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan setiap pergerakan mereka perlu dikawal dengan baik.

"Ini turut melibatkan ujian saringan dan keutamaannya akan diberikan buat atlet yang sedang mempersiapkan diri bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik, jadi kesemuanya akan kami laksanakan bersama pihak MSN.

"Kakitangan ISN juga akan memakai PPE dengan kelengkapan penuh bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan.

"PPE merupakan aspek yang amat penting bagi ahli perubatan ISN untuk memastikan mereka dapat terus memberikan perkhidmatan perubatan buat atlet di bawah program," katanya.

Dilaporkan sejumlah 49 atlet dan pegawai sukan tanah air daripada beberapa cabang sukan -- antaranya badminton, bola sepak dan sepak takraw -- didapati positif COVID-19 sepanjang pandemik ini.

Sebagai rekod, latihan berpusat secara gelembung sukan pernah diaplikasikan selama tiga bulan bagi atlet di bawah Program RTT tahun lalu dan ia dilihat sebagai langkah terbaik bagi memastikan tumpuan atlet tidak terjejas menjelang Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.