Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, menmperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan baru 5.31 meter dalam Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Iskandar menepati ramalan peribadi untuk memadamkan rekod kebangsaan 5.25m yang dilakukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dalam kejohanan tempatan ini yang dianggap sekadar pemanas badan sahaja untuknya.

Dalam percubaan pertama, Iskandar terlebih dahulu mengatasi rekod lama dengan lompatan sehingga 5.26 meter sebelum percubaan kali keduanya membuahkan hasil dengan catatan yang lebih tinggi, 5.31 meter.



Ia adalah pencapaian terbaik Iskandar setakat ini kerana tidak pernah berjaya melakukan lompatan sehingga tahap itu dalam sesi latihannya.

"Saya hanya mahu menikmati saingan kali ini. Saya memang meletakkan sasaran untuk memecah rekod kebangsaan tetapi tidak menjangkakan dapat melakukan 5.31m," katanya.

Apa yang pasti, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 itu mengharapkan pencapaian terbaik ini berterusan dalam saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pula yang menjadi penampilan keduanya dengan sasaran baru, 5.40 meter.

"Saya meletakkan sasaran untuk melakukan lompatan yang lebih tinggi. Dalam Sukan SEA, catatan semasa saya masih tidak cukup untuk meraih pingat emas, jadi saya perlu melakukan yang lebih baik," katanya.