Pegawai persatuan sukan kebangsaan menyokong usaha Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, untuk menghidupkan semula program Rakan Sukan bagi mengurangkan beban kewangan MSN ketika ini.

Persatuan sukan kebangsaan sudah mula menggerakkan usaha mendekati syarikat swasta.

Program Rakan Sukan diperkenalkan pada 1994 dengan objektif mendapatkan tajaan sebuah syarikat swasta untuk satu jenis sukan.

Hasilnya, banyak kemudahan sukan dibina di seluruh negara sempena Sukan Komanwel 1998, sekali gus menjadi penanda aras yang baik untuk dimulakan sekali lagi.

"CIMB Bank, kami sudah ada dalam program pembangunan. Cuma untuk penyertaan atlet ke luar negara, kami banyak bergantung kepada MSN dan kerajaan.

"Kami perlu membangunkan lagi untuk mendapat tajaan-tajaan korporat," kata pengurus skuad berasikal Sukan Asia, Firdaus Arshad.

"Kami akan berusaha untuk mendapatkan satu penajaan. Dulu kami ada, sekarang tiada lagi. Oleh kerana itu, untuk membuat pembangunan kita perlu ada rakan sukan," kata Naib Presiden, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), M. Iyaru.

MSN berdepan masalah kewangan hingga terpaksa menangguhkan pembayaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada beberapa atlet dan jurulatih.