Walaupun tidak memiliki ketinggian yang ideal, atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, bertegas mahu mencapai catatan tertingginya, iaitu 2.3 meter, selewat-lewatnya bulan depan.

Itu adalah catatan paling tinggi yang mampu dilakukan Hup Wei yang sekadar memiliki ketinggian 181 sentimeter.

Dia bakal beraksi dalam Kejohanan GP Asia di China sambil mengharapkan sasaran itu mampu terlaksana ketika catatan terbaiknya setakat ini adalah 2.27m yang dilakukan dalam GP Malaysia, Mac lalu.

Jika dia mampu melaksanakannya, Hup Wei berpeluang cerah untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, September depan di mana catatan kelayakan merit ialah 2.3m.

"Permulaan musim bermula dengan baik, semua kekal dengan 2.20m sehingga 2.26m. Kini, saya mempersiapkan diri untuk kejohanan seterusnya sebelum menuju GP Asia," katanya.

Hup Wei dan seorang lagi atlet olahraga, Hakimi Ismail, membawa cabaran negara di China dengan sasaran masing-masing untuk memperbaiki catatan demi mencari kelayakan di pentas elit dunia.

"Saya rasa perlu turun dengan prestasi terbaik. Kini baru kembali dari Kejohanan Asia, jadi perlu rehat dan kembali dengan persembahan cemerlang dalam GP Asia."