Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, tidak akan menyertai sebarang kejohanan termasuk Terbuka Malaysia, November depan walaupun ia peluang terbaik untuk memperbaiki ranking dunia.

Juara Sukan SEA itu jatuh ranking ke-104 dunia selepas gagal melakukan sebarang catatan dalam Sukan Olimpik Tokyo sekali gus sedang mempertimbangkan untuk bersara.

Hup Wei kekal dengan pendirian untuk berehat hingga tamat musim ini.

Atlet berusia 34 tahun itu mahu berbincang dengan isteri dan keluarga mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan.

Ia bermakna atlet kelahiran Sepang, Selangor itu tidak akan menyertai sebarang kejohanan termasuk Terbuka Malaysia yang dijadual bermula 27 November depan.

"Saya tidak akan bertanding sehingga tamat tahun ini. Perancangan saya adalah bagi Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA bagi tahun hadapan," kata Hup Wei.