Hubungan baik dengan bakal presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, selain lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia sukan negara, menjadikan Datuk Megat Zulkarnain Omardin optimis beliau adalah calon terbaik untuk diangkat selaku timbalan presiden badan induk itu.

Memegang jawatan naib presiden MOM pada penggal sebelum ini, Megat Zulkarnain menjadi calon pilihan bagi jawatan timbalan presiden berbanding seorang lagi pencabar, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Bagi Megat Zulkarnain, faktor keserasiannya dengan Norza adalah sesuatu yang baik bagi organisasi MOM untuk penggal 2018-2021 seandainya terpilih.

"Saya mengenali Datuk Seri Norza buat sekian lama sebelum kami berada dalam MOM. Dalam bidang lain, saya berkawan dengannya serta memahami cara kerja dan ideologi Datuk Seri Norza.

"Jadi, ada keserasian di situ, daripada segi dasar, pelaksanaan yang ingin dibawanya. Pastinya, sebagai orang nombor dua perlu mengikut dasar dan perancangan yang diputuskan presiden," katanya.

Megat Zulkarnain, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), mengakui beliau juga memiliki pengalaman sebagai seorang atlet.

Justeru, ia menjadi kelebihan buat dirinya untuk memahami masalah atlet serta merealisasikan impian emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya sudah melalui semua proses ini. Saya mesti tahu perasaan seorang pegawai teknikal, perasaan seorang atlet dan akhirnya saya menjadi setiausaha agung (Pesaka).

"Selepas 20 tahun, saya memahami segala-galanya," katanya lagi.