Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, menggesa anak buahnya agar melupakan kejayaan menumbangkan juara bertahan, India, untuk mara ke final Sukan Asia Jakarta-Palembang kerana misi utama The Malaysian Hockey Tigers ialah pingat emas untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemain diingatkan supaya tidak perlu meraikan kejayaan malam tadi secara berlebihan.

Masih ada tugas yang perlu diselesaikan, iaitu berdepan Jepun dalam final malam esok, dengan tiket temasya Olimpik Tokyo 2020 menjadi rebutan.

Malaysia menewaskan India 7-6 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar permainan sementara Jepun menumbangkan Pakistan 1-0 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

"Lapan tahun lalu di Guangzhou apabila kami memenangi aksi separuh akhir, kami hilang fokus.

"Ada pemain yang meraikannya dengan menggayakan rambut baru dan sebagainya memandangkan kami mencipta sejarah.

"Kali ini kami harus tenang dan fokus kerana ada satu lagi perlawanan yang perlu diharungi.

"Saya tidak katakan kami akan menang tetapi jika kami menampilkan prestasi terbaik, kami berpeluang untuk menang," kata Van Huizen.

Malaysia tidak pernah memenangi emas Sukan Asia dengan pencapaian terbaik ialah meraih perak di Guangzhou pada 2010.

Kali terakhir skuad negara tampil dalam Sukan Olimpik adalah di Sydney 2000, yang ketika itu di bawah bimbingan Van Huizen.

"Sebagai jurulatih, saya akan melaksanakan apa yang sepatutnya manakala barisan pemain pula, mereka akan menggalas peranan di atas padang dengan menunjukkan kesungguhan.

"Anak buah saya patut dipuji.

"Barisan kejurulatihan telah membuat persediaan yang sewajarnya dan para pemainlah yang menampilkan persembahan terbaik," katanya lagi.