Tiga daripada sembilan pemain skuad hoki negara yang digugurkan daripada kempen pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan memperkuatkan skuad hoki dalam dewan negara menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Bagi memastikan sasaran mempertahankan pingat emas dalam temasya dwitahunan itu, jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Muhammad Amin Rahim, akan mengambil tiga pemain daripada senarai itu.

Namun, hanya atlet yang pernah beraksi dalam dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu akan terpilih dalam acara berkenaan.

"Yang pasti, dua orang pemain itu ialah Najmi (Farizal Jazlan) dan Amirul Aideed (Arshad).

"Seorang lagi ialah Luqman (Nur Hakim Ahmad Shukran) yang pernah berlatih untuk Sukan SEA lalu," kata Amin ketika sesi lawatan Timbalan Chef-de-Mission, Nurul Huda Abdullah, di Pusat Latihan Hoki Dalam Dewan hari ini.

Meskipun tiga pemain berkenaan telah dipanggil untuk menyertai sesi latihan, ia belum menjamin kedudukan mereka di Filipina.

"Buat masa sekarang hanya tiga.

"Sebab dalam playoff (pusingan kelayakan Sukan Olimpik) hanya ada 18 pemain.

"Jadi tiga daripada 21 pemain akan digugurkan nanti.

"Saya akan panggil juga jika nama mereka ada dalam senarai panjang yang kami hantarkan kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Ada masa lagi untuk mereka menyesuaikan diri," tambahnya.