PAHANG 12 KELANTAN 1

Pahang mara ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Piala Tun Abdul Razak dengan cukup bergaya selepas membelasah Kelantan 12-1 di Stadium Hoki Nasional , Bukit Jalil hari ini.

Kemenangan itu turut mengekalkan pasukan berkenaan selaku juara Kumpulan C dengan sembilan mata dan berkelebihan jaringan mengatasi Kuala Lumpur

Tujuh pemain berbeza menjaringkan gol buat Pahang dengan Idris Samad muncul penggempur paling prolifik dengan hatriknya manakala Ismail Abu, Hafiz Zainol dan Syamil Azim Dzulkafly muncul penjaring gol berganda sambil Harris Iskandar Osman, Izham Azhar dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini turut menemui sasaran dalam pesta gol itu.

Kelantan pula, yang meraih gol sagu hati menerusi jaringan padang Syazwan Syafiq Basir dalam suku ketiga, terpaksa akur tersingkir selaku pasukan tercorot selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan.



Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur sah mengiringi Pahang ke pusingan kedua selaku naib juara Kumpulan C selepas menewaskan ATM 6-2 di Stadium Hoki Nasional.



Aksi Kumpulan B pula menyaksikan Terengganu memintas Melaka selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-2, sekali gus mengikat sembilan mata dan berkelebihan jaringan untuk kedua-dua pasukan tangga teratas itu mara ke pusingan kedua.