Skuad negara mula memasuki fasa-fasa terakhir latihan ketika Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja berbaki kurang dua minggu lagi.

Pengendali skuad remaja negara, Wallace Tan, mengakui kem negara masih perlu menemupuhi pelbagai penambahbaikan daripada segi serangan, pertahanan termasuk pukulan sudut penalti.

"Corak permainan hari ini lebih laju, jadi saya tidak boleh mengharapkan pemain tertentu sahaja untuk bertahan lama di atas padang.

"Jadi saya perlukan lebih ramai pemain yang mampu bermain di tahap yang lebih tinggi," kata jurulatih itu.

Bagaimanapun, pertahanan negara, Amirul Hamizan Azhar, yang sudah di bawah kendalian Wallace sejak 2020, optimis skuad negara mempunyai kelebihan tersendiri untuk mengatasi pihak lawan dalam kejohanan di Bhubaneswar, India, dari 24 November hingga 5 Disember depan.

"Semakin banyak perkara positif ditunjukkan dalam skuad ini.

"Jurulatih mahu pertahanan kekalkan penguasaan bola, ambil langkah selamat dan bermain mudah baik ketika bertahan dan menyerang.

"Sejak bergabung, pasukan ini menerapkan semangat berpasukan sebagai sebuah keluarga untuk buat yang terbaik di India kelak," kata Amirul Hamizan.