MALAYSIA 4 AFRIKA SELATAN 3


Pasukan remaja negara mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dengan menundukkan Afrika Selatan 4-3 di peringkat kumpulan saingan Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, sebentar tadi.


Dalam aksi ketiga peringkat kumpulan itu, anak buah Wallace Tan tersebut hampir-hampir mendahului menerusi pukulan sudut penalti dalam suku kedua tetapi tidak diambil kira oleh pengadil.

Kemudian, giliran pasukan Afrika Selatan untuk membuat percubaan pula namun nasib menyebelahi penjaga gol Malaysia yang berjaya mematahkannya.

Berbaki kurang dua minit suku kedua, skuad negara akhirnya memecah kebuntuan perlawanan menerusi Muhammad Fahmi Khalid dengan gol pertamanya dalam kejohanan ini.

Begitupun, kegembiraan pasukan kebangsaan tidak kekal lama berikutan Afrika Selatan bangkit dalam suku seterusnya apabila dihukum pukulan sudut penalti Guy Morgan.

Namun, selang beberapa minit, Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin mengembalikan kelebihan kepada Malaysia dengan gol keduanya dalam temasya ini.




Afrika Selatan membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan apabila Jared Campbell tampil untuk menyamakan kedudukan dan kali ini menerusi gol padang.

Cuma berselang seminit, Malaysia tidak menunggu lama untuk kembali mendahului yang menyaksikan gol padang Mohamad Shamir Rizmi menjadikan kedudukan 3-2 dalam suku keempat.

Sebelum sempat mereka menarik nafas, lawan kembali bangkit untuk mengikat kedudukan selepas Campbell menggandakan jaringannya untuk mengikat kedudukan.

Ia menyemarakkan semangat pemain negara untuk Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol kemenangan dua minit kemudian untuk memuktamadkan keputusan 4-3.

Malaysia muncul naib juara Kumpulan A untuk berdepan pendahulu Kumpulan B, Perancis, di peringkat aksi suku akhir pada Rabu depan.

Kredit imej: Malaysian Hockey Confederation