MALAYSIA 1 SEPANYOL 4

Malaysia menamatkan kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2021 di tempat kelapan selepas tewas 1-4 kepada Sepanyol di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Selepas impian ke separuh akhir musnah dengan kekalahan 0-4 kepada Perancis, skuad bimbingan Wallace Tan itu kemudian tewas 3-9 kepada Belanda dalam perlawanan 'crossover' untuk bertemu Spanyol bagi penentuan tempat ketujuh.

Pasukan negara bermula baik di Stadium Kalinga apabila berada di depan seawal minit keempat menerusi jaringan padang ketua pasukan, Akhimullah Anuar Esook, tetapi kelebihan itu hanya bertahan selama tiga minit sebelum Eduard de Ignacio-Simo kembali mengikat kedudukan buat Sepanyol.

Sepanyol kemudian memastikan kemenangan menerusi tiga jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Pau Cunill (minit ke-49 dan 58) dan Pepe Cunill (55).

Dengan kekalahan itu, skuad negara menamatkan saingan di tempat kelapan daripada 16 pasukan bertanding, sekalii gus mengatasi pencapaian tempat ke-11 dalam edisi di Lucknow pada 2016.

Malaysia, dalam pada itu, akan bertindak sebagai tuan rumah Piala Dunia Remaja bagi edisi seterusnya pada 2023.



Kredit foto: FIH