Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki: Malaysia dapat tonik tambahan selaku tuan rumah buat kali ketiga

Shaiful Shamsudin
Julai 3, 2021 12:24 MYT
Pasukan hoki remaja negara perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila dipilih buat kali ketiga untuk menganjurkan Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2023.
Semalam, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menamakan Kuala Lumpur sebagai destinasi untuk kejohanan B-21 itu pada tahun depan sementara Chile menjadi tuan rumah untuk pertandingan wanita.
15 slot akan jadi rebutan sambil pasukan pelapis negara akan layak sebagai tuan rumah dengan tarikh kejohanan akan dimuktamadkan kelak.
Ini merupakan kali ketiga Malaysia akan menganjurkannya dengan kali terakhir pada 2009 di Johor Bahru di samping Singapura selaku penganjur bersama.
Penolong jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Megat Azrafiq Termizi, mengakui ia berita positif buat barisan anak buahnya untuk lebih bersemangat..
"Kami akan bermain di laman sendiri, di depan penyokong sendiri.
"Kami juga akan mendapat slot automatik selaku tuan rumah kejohanan.
"Ini satu peluang terbaik untuk kami," katanya dalam Nadi Weekend sebentar tadi.
Dalam edisi 2016 di India, Malaysia hanya menghuni kedudukan ke-11.
Pada masa sama, Skuad hoki remaja negara tetap dalam persediaan ke Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia di Dhaka, Bangladesh, yang masih belum ada ketetapan tarikh selepas ditunda kali ketiga.
Namun, mereka berdepan cabaran tersendiri yang melibatkan sesi latihan yang terbatas.
"Barisan kejurulatihan akan menyediakan program mingguan dan mereka perlu melaporkan kepada kami selain latihan secara maya
"Memandangkan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) sedang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor, kemungkinan besar kami perlu merangka program yang melibatkan aktiviti di dalam rumah sahaja," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Konfederasi hoki Malaysia (KHM) mengesahkan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2021 akan diadakan pada hujung tahun ini.
#Hoki