Skuad hoki negara kekal dengan perancangan untuk ke Trinidad & Tobago bagi menghadapi saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia tetapi akan mengambil langkah proaktif jika ada pertukaran pada saat akhir jika perlu beraksi di Dhaka, Bangladesh.

Langkah proaktif yang diambil pengurusan skuad kebangsaan adalah dengan berbincang dengan lapan pasukan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Maklum balas yang diterima adalah positif apabila pasukan LHM bersetuju melepaskan pemain bertaraf kebangsaan di bawah naungan mereka untuk berlatih bersama skuad kebangsaan pada hari tertentu sekalipun ketika saingan liga sedang berjalan.

"Ia adalah mesyuarat yang bagus kerana semua pasukan telah bersetuju di mana kami boleh menggunakan pemain walaupun ketika saingan liga.

"Mereka dibenarkan untuk berlatih bermula hari ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj.

KHM juga tidak menawarkan perkembangan jika mereka sudah menerima tawaran daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk slot beraksi di Dhaka.

Tetapi perancangan awal membabitkan skuad kebangsaan ini ibarat persiapan yang sudah dirancang memandangkan aksi di Dhaka bermula lebih awal pada 4 Mac berbanding 25 Mac di Trinidad & Tobago.

"Kami mengeluarkan kenyataan, buat masa ini ia dikekalkan. Walaupun khabar angin mengatakan kami akan ke Dhaka, pada waktu ini ia kekal sama dengan perancangan untuk ke Trinidad & Tobago. Apa-apa perubahan selepas ini, kami akan putuskan dengan segera." tambahnya.

Dalam aksi separuh akhir pusingan kedua nanti, Malaysia perlu menepis cabaran Amerika Syarikat terlebih dahulu pada 25 Mac, diikuti Chile sehari kemudian.

Skuad kebangsaan hanya memiliki satu hari rehat, sebelum anak buah Stephen van Huizen itu turun menentang Barbados pada 28 Mac.