Pingat emas Sukan Asia Indonesia merupakan peluang terakhir buat beberapa pemain hoki negara yang diketuai oleh penjaga gol, S. Kumar, bagi menjejakkan kaki ke pentas Sukan Olimpik menerusi slot kelayakan temasya itu.

Skuad hoki negara mempunyai dua peluang untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sama ada dengan meraih pingat emas di Indonesia atau yang kedua adalah siri saingan Liga Hoki Dunia.

Jika dibandingkan dua pertandingan itu, laluan Sukan Asia adalah lebih mudah dengan pemenang pingat emas akan layak secara automatik.

Ironinya, Malaysia tidak pernah meraih pingat emas, dengan pencapaian terbaiknya adalah perak di Guangzhou, China 2010.

Justeru, ini merupakan peluang terbaik bagi pemain-pemain berpengalaman mempamerkan aksi terbaik.

"Impian saya adalah beraksi dalam Sukan Olimpik dengan pingat emas Sukan Asia menjadi keutamaan kami," kata Kumar.

"Beraksi dalam Olimpik adalah impian semua pemain dan ia akan menjadi satu pencapaian yang membanggakan saya jika mampu layak ke Tokyo 2020," kata kapten skuad negara, Sukri Abdul Mutalib.

"Kami memiliki barisan pemain berpengalaman dan jika Sukan Olimpik menjadi destinasi kami, ia bermula dengan Sukan Asia," kata jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen.

Skuad wanita bakal mengharungi laluan lebih berliku, dengan Malaysia tidak pernah meraih pingat dalam temasya terbesar Asia itu, sekali gus menyaksikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hanya menetapkan sasaran gangsa.

"Selepas melihat prestasi pasukan dalam beberapa kejohanan, peningkatan drastik yang telah dipamerkan pemain-pemain membenarkan sasaran yang telah diletakkan mampu menjadi kenyataan," kata jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.