Dhaarma Raj Abdullah terkenal dengan sentuhan magis yang mampu meningkatkan sesebuah pasukan.

Ia terbukti apabila sentuhannya membantu Skuad Projek 2013 meraih tangga keempat Piala Dunia Remaja selain The Malaysian Tigress beraksi dalam separuh akhir Liga Dunia 2019.

Minggu ini, bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita negara itu dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia (FHI) dengan kontrak hingga Disember 2025.

Bagaimanapun, bagi tonggak berpengalaman negara, Sukri Mutalib, bukan mudah untuk memintas skuad kebangsaan kerana ia memerlukan masa yang lama.

"Saya tidak melihat Indonesia akan jadi ancaman dalam masa terdekat walaupun diterajui Dhaarma.

"Pasukan Malaysia masih jauh di hadapan.

"Untuk Pasukan Indonesia mengejar Malaysia mungkin agak lama. Dhaarma perlu membetulkan struktur kejurulatihan di sana terlebih dahulu.

"Di Malaysia, kita mempunyai asas di peringkat sekolah rendah dan menengah. Malah, kita mempunyai Program Pembangunan Hoki Negara (NFDP)," katanya dalam Astro Arena sebentar tadi.





Bagaimanapun, Malaysia tidak boleh memandang itu dengan sebelah mata dan Sukri menganggap pendekatan di tanah air mampu memacu Malaysia bersaing di peringkat tertinggi.

"Kami tidak boleh terlalu selesa, perlu terus berlatih kuat.

"Saya juga yakin Malaysia mempunyai barisan kejurulatihan yang mampu mengekalkan status kami sebagai pasukan nombor satu Asia Tenggara."