Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, memberi amaran mahu muncul penjaring terbanyak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menghasilkan dua gol ketika menewaskan Australia Barat, 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, minggu lalu.

Faizal dilihat berada di tahap terbaik sejak membantu Malaysia layak ke Piala Dunia 2018.

Penyerang Terengganu Hockey Team (THT) ini bertekad melakar nama selaku penggempur paling berbisa dalam temasya KL2017.

"Saya dah dapat keyakinan semula. Dalam Sukan SEA ini, saya begitu bersemangat untuk beraksi di laman sendiri," katanya.

Pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, dan penyerang, Muhammad Ramadan Rosli, turut melakar nama selaku penjaring dalam perlawanan dengan Australia Barat itu.

Pengendali negara, Stephen van Huizen, berpuas hati dengan aksi anak buahnya, namun dia mengakui memerlukan beberapa lagi aksi persahabatan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang licin di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

"Mungkin minggu depan (minggu ini), kami cuba mengaturkan perlawanan persahabatan dengan pasukan Sultan Johor, sekiranya mereka sedang berlatih.

"Jika tidak, kami tetap gembira dengan latihan yang diadakan dan kualiti yang kami miliki adalah baik," jelas Van Huizen.