Perak membelasah Sabah 4-2 dalam saingan pusingan kedua Kejohanan Hoki Kebangsan Bawah 16 (B-16) Tahun di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

"Rakan sepasukan saling bantu membantu untuk kami bangkit sebagai sebuah pasukan.

"Pemain-pemain juga mengikut arahan jurulatih dengan baik selain mendapatkan rehat yang secukupnya.

"Kami memang menyasarkan untuk layak ke perlawanan akhir pada tahun ini," ujar pemain pertahanan Perak, Muhammad Syahmi Syahir.

Perlawanan yang disulami hujan lebat itu pada awal permainan sedikit pun tidak merencatkan corak serangan kedua-dua belah pasukan.

Sabah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang, Muhammad Salman Sudirman pada minit ke-13.

Pada suku kedua permainan, Perak memperkemaskan jentera serangan mereka dan berjaya memperolehi dua pukulan sudut penalti dalam tempoh dua minit, bermula pada minit ke-19.

Fliker Perak, Muhammad Fahmi Khalid, cemerlang dalam menyempurnakan kedua-dua pukulan sudut penalti tersebut untuk meletakkan Perak di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Ashraf Iqbal Alias terus membuatkan Sabah sengsara dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-29 dan melengkapkan hari gemilang Perak, Saiful Sahril, pula mencetak jaringan keempat pada minit ke-52.

Sabah memperolehi gol saguhati mereka, seminit kemudian menerusi Granson Noel Goden.

"Kami kurang berpuas hati dengan aksi dalam separuh masa pertama.

"Selepas itu, kami berjaya menampilkan aksi terbaik," kata kapten Sabah, Mohd Hasdar Haruna.