Skuad hoki ais negara gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas di tangan Thailand dengan keputusan 10-4 dalam aksi kedua Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malam tadi.

Sebelum itu, Malaysia mengorak langkah kanan dengan kemenangan pertama 10-3 ke atas Indonesia.

Skuad kendalian Kristof Kovago itu pada awalnya bermula cemerlang pada minit ke-4 untuk mendahului menerusi Bryan Lim sebelum lawan menyamakan kedudukan hasil jaringan oleh Phandaj Khuhakaew, berselang lima minit.

Kedua-dua pasukan saling berbalas gol apabila tuan rumah cuba merapatkan kedudukan namun kecekapan Thailand di depan gol nyata menghukum Malaysia untuk akur dengan kekalahan.

Bagaimanapun, skuad Malaysia bertekad untuk bangkit ketika menentang Filipina, 8 malam ini.

"Ia perlawanan sukar, kami tidak dapat memberikan saingan dalam separuh masa pertama, malah dalam separuh saingan babak kedua.

"Mereka sebuah pasukan hebat.

"Kami memberikan penalti selain beberapa kesilapan yang menyebabkan kami tumpas," kata ketua pasukan hoki negara, Ban Kin Loke.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.