Perubahan kategori daripada A ke B ekoran pergolakan dalaman menjadi punca Persekutuan Hoki Ais Malaysia (MIHF) berdepan kesulitan dalam membayar kos atlet ke Sukan SEA Manila 2019.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bertindak tegas apabila menurunkan status skuad hoki ais negara ke kategori B menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan, gara-gara pergolakan dalaman badan induk itu.

Sejumlah RM76,000 perlu dilangsaikan dengan persetujuan penglibatan atlet yang terpaksa mengerah kudrat mengeluarkan RM3,000 seorang dengan baki pencarian dana diusahakan persatuan.

"Persiapan skuad hoki ais negara bagi menghadapi Manila 2019 agak sukar berbanding dua tahun lalu. Kami perlu mengeluarkan dana sendiri untuk menghantar atlet ke Sukan SEA sementara atlet juga perlu menggunakan perbelanjaan sendiri di sana," kata jurulatih skuad negara, Andy Chang Yew Ming.

Enam muka baru akan membuat penampilan sulung dengan enam pemain yang pernah berkhidmat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu turut menghadirkan kilauan pingat gangsa buat negara.

"Kami tetap akan bersatu dan tidak akan berpecah. Setiap pemain meletakkan tumpuan untuk meraih pingat di Manila nanti," kata pemain negara, Vinodraj Sundram.