Perenang muda negara, Khiew Hoe Yean, memasang impian besar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 meskipun bakal berdepan tugas getir.

Sebelum ini, dia terpaksa menggalas cabaran ke Sukan SEA Filipina menggantikan Tern Jian Han ekoran kecederaan yang dialami pada saat-saat akhir tetapi tetap meraih dua pingat gangsa daripada enam acara yang dipertandingkan.

Bagi musim 2020, dua kejohanan di laman sendiri yang menawarkan mata kelayakan ke Tokyo menanti atlet berusia 18 tahun itu itu tatkala Kejohanan Jemputan Peringkat Umur pada Mac depan bakal disusuli Terbuka Malaysia.

Perenang muda itu menyasarkan sekurang-kurangnya untuk meraih catatan peribadi 2 minit 01.01 saat dalam acara kegemarannya, 200 meter kuak lentang, untuk slot itu.

"Sebenarnya, saya sasarkan untuk layak dalam beberapa kejohanan bagi membolehkan saya beraksi dalam saingan di peringkat Asia. Saya akan cuba tingkatkan prestasi dan lakukan yang terbaik untuk mencapainya," katanya.

Dia bersama jurulatih, Chris Martin, juga merancang untuk berguru di Jepun selama sebulan, Mei depan.

"Saya cuba ke Jepun kerana mereka sangat bagus. Mereka memiliki tahap lebih baik berbanding kami. Saya mahu berlatih dengan mereka."



Editor: Nafis Abdullah