Legenda angkat berat negara, Muhammad Hidayat Hamidon, terpaksa dikejarkan ke hospital disebabkan masalah jantung.

Pihak hospital juga mengeluarkan air dari paru-parunya selepas pemenang tiga pingat emas Sukan Komanwel 1998 itu mengadu sesak nafas.

Dalam satu perbualan video bersama Astro Arena hari ini, bekas badang negara itu berkata: "Jantung saya ada masalah di mana ada sedikit pembengkakan dan terdapat air di paru-paru.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada doktor dan pegawai ISN (Institut Sukan Negara) dan Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb).

"Selama ini saya berasa takut untuk dihantar ke hospital tetapi akhinya, saya berada di hospital juga.

"Saya memohon maaf kepada yang menghubungi saya dan yang menunggu di lobi hospital, dan kepada atlet saya yang telah mendoakan kesihatan saya juga kepada isteri saya.

"Semoga saya akan diberikan kesihatan semula oleh Allah SWT," katanya.