"Piala Emas Khir Johari adalah kejohanan berprestij dalam sukan sepak takraw tanah air dan apabila bergelar juara, pastilah amatlah membanggakan. Malah, ramai pemain legenda dilahirkan melalui kejohanan ini". Itulah imbasan Mohd Harry Herman Mokhtar.

Penolong jurulatih skuad sepak takraw Piala Emas Khir Johari Perak itu merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa pulang piala keramat ini ke Perak pada 2004.

"Saya masih ingat ketika itu cabaran amat sengit dalam perlawanan akhir bertemu Pulau Pinang dan akhirnya kami menang 2-1.

"Sejarah ini pasti dalam ingatan," katanya.

Apabila menyentuh minat generasi kini terhadap sukan tradisi ini, beliau berkata, "Dulu kalau tangkap gambar stadium penuh penonton. Tapi saya yakin auranya semakin diterima setelah malap pada awal tahun 2000.

"Perlu diadakan lebih banyak lagi kejohanan agar sukan ini terus dapat dipromosikan," katanya lagi.