Lewis Hamilton percaya dia masih mampu menjuarai lebih banyak kejuaraan dunia dan berharap untuk terus berlumba dalam Formula Satu sehingga dia berusia 40 tahun.

Pelumba jentera Mercedes itu kini hanya ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu saingan, Sebastian Vettel, menjelang perlumbaan dalam GP Azerbaijan di Baku minggu ini dan meletakkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan buat kali keempat.

Hamilton dilihat bakal mengikut jejak langkah bekas rakan sepasukannya, Nico Rosberg, tetapi pelumba Great Britain itu meletakkan sasaran untuk mencipta legasi dalam Formula Satu.

"Saya kini berusia 32 tahun dan berada pada waktu yang sangat penting bagi mencorak masa depan saya," kata Hamilton.

"Saya tidak berasakan seperti pelumba yang berusia, saya masih lagi berada di tahap terbaik dan mahu cuba bergelar juara dunia buat tiga hingga empat tahun akan datang.

"Jika anda melihat kepada Rosberg yang tidak mahu lagi melibatkan hidupnya sebagai pelumba, tetapi tidak bagi saya kerana saya masih mahu mencipta sesuatu."

Hamilton kini telah memenangi dua kali dalam tiga perlumbaan, berada di puncak podium ketika saingan di Kanada dan Sepanyol, dan berharap untuk mencipta kemenangan di Baku.

"Saya mahu terus mencipta kemenangan dalam usaha memintas Vettel dalam saingan juara keseluruhan. Ia adalah sasaran dalam perlumbaan kali ini."