Lewis Hamilton berkata Charles Leclerc ditakdirkan untuk berjaya selepas terus mengatasi rakan sepasukan Ferrari, Sebastian Vettel, dalam perjalanan menjuarai perlumbaan Formula Satu buat kali pertama.

Leclerc meraikan kemenangan F1 pertama dengan mengatasi gandingan Mercedes, Hamilton dan Valtteri Bottas, dalam Grand Prix Belgium semalam.

Pada hari yang penuh beremosi di Spa berikutan kematian pelumba F2, Anthoine Hubert kelmarin, Leclerc memula dan menamatkan perlumbaan di petak pertama sementara juara dunia empat kali, Vettel, di tempat keempat.

Juara bertahan, Hamilton, memuji pelumba berusia 21 tahun itu yang mula mencapai tahap yang sama dengan Vettel.



"Saya berasakan keputusan itu menjelaskan segala-galanya.

"Sukar untuk mana-mana pelumba cemerlang bersama pasukan yang besar seperti Ferrari, berdepan juara dunia empat kali. Leclerc telah berjaya meraih pengalaman yang berguna.

"Dia mempamerkan aksi konsisten dan mengatasi Vettel. Usaha yang amat sukar.

"Leclerc kurang bernasib baik dalam beberapa pelumbaan sebelum ini. Dia seharusnya sudah meraih tiga kemenangan. Saya mahu terus melihat peningkatannya dan bersaing dengan Leclerc di litar.

"Kami berlumba dengan baik di Spa, saya cuba mengejarnya, namun dia agak pantas."

Keputusan:
1 Charles Leclerc (Ferrari) 1'23:45.710s
2 Lewis Hamilton (Mercedes) +0.981s
3 Valtteri Bottas (Mercedes) +12.585s
4 Sebastian Vettel (Ferrari) +26.422s
5 Alexander Albon (Red Bull) +1:21.325s
6 Sergio Perez (Racing Point) + 1: 24.448s
7 Daniil Kvyat (Toro Rosso) +1:29.657s
8 Nico Hülkenberg (Renault) +1:46.639s
9 Pierre Gasly (Toro Rosso) +1:49.168s
10 Lance Stroll (Racing Point) +1:49.838s