Lewis Hamilton bersedia untuk bekerja dengan jurutera Mercedes sehingga larut malam selepas mengakui jenteranya tidak cukup pantas semasa sesi latihan menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Azerbaijan.

Juara bertahan Formula Satu itu hampir dua kali ganda lembab daripada Valtteri Bottas dalam sesi latihan bebas pertama dan sekali lagi ketinggalan di belakang rakan sepasukannya itu, termasuk dua pelumba Red Bull dan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen, dalam sesi latihan kedua.

Pelumba Britain itu tidak menang dalam enam perlumbaan terakhir, sekali gus memaksanya untuk meningkatkan usaha sebelum sesi kelayakan hari ini bagi mencipta peluang terbaik untuk mengakhiri kemarau kemenangan.

"Kami mendapat segala yang kami perlukan tanpa banyak kesilapan dan kami mengumpul banyak maklumat," kata Hamilton.

"Secara keseluruhan, kami tidak cukup pantas hari ini. Buat masa ini, kedua-dua pelumba Red Bull dan Ferrari nampaknya mendahului kami, jadi kami berusaha lebih keras lagi.

"Saya akan mengejutkan kesemua jurutera pada setiap malam supaya kami boleh membuat perubahan yang betul," ujarnya.

Daniel Ricciardo, yang kali terakhir menang di China dan di Baku pada 2017, juga berharap untuk mendapatkan lebih banyak hasil daripada jenteranya pada hujung minggu ini biarpun unggul dalam sesi kedua.

"Saya fikir kami boleh meningkat lebih banyak lagi tetapi secara amnya, saya gembira dengan kereta," kata Ricciardo sambil rakan sepasukannya, Max Verstappen, terlibat dengan kemalangan dalam sesi pembukaan.

"Tiada masalah besar, saya fikir ia akan menjadi perlumbaan yang sengit.

"Seperti biasa, saya fikir pelumba lain akan lebih menyerlah. Saya berasakan kami mungkin akan kehilangan sektor satu dan tiga esok. Sektor dua akan menjadi kunci kepada kami.

"Ia perkembangan menggalakkan sungguhpun kami gagal merebut petak hadapan kerana saya fikir jentera kami adalah mantap, kami masih merupakan pilihan," katanya lagi.