Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 5 Mei ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Hamidin berkata keputusan itu dibuatnya kerana ingin memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara, khususnya jika diangkat sebagai presiden FAM yang baru bagi penggal 2008-2021 dalam kongres badan induk itu 14 Julai ini.

Menurut Hamidin lagi, keputusan itu juga dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan juga mendapatkan nasihat daripada mantan presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa persatuan sukan kebangsaan mahu mencalonkan nama beliau bagi jawatan berkenaan, Hamidin menegaskan bahawa buat masa ini beliau tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam MOM.

Selain Hamidin, beberapa nama juga disebut-sebut bakal bertanding jawatan tertinggi dalam MOM, antaranya, pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Setiausaha Agung Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin.