Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Simona Halep, menyifatkan sukan itu lebih menarik sekiranya Serena Williams tidak terlibat.

Serena, pemenang 23 kali grand slam, kini kembali menyertai Jelajah WTA di Indian Wells Masters minggu ini selepas menyepi ekoran kelahiran bayi perempuannya pada September tahun lalu.

Bagi Halep, dia tertarik dengan kemunculan semula bintang berusia 36 tahun itu di California walaupun tidak berasakan Serena mampu menjadi pilihan utama dalam setiap kejohanan.

"Ramai pemain yang kembali dan dahagakan kejayaan.

"Saya teruja untuk melihat Serena beraksi. Kini, dia tidak lagi mendominasi dan dunia tenis wanita menjadi lebih menarik," kata Halep.

Walaupun mengungguli carta kedudukan dunia, Halep masih belum memenangi sebarang grand slam selepas tewas di pentas akhir Terbuka Australia pada awal tahun ini, sekali gus membuatkan Indian Wells sebagai keutamaannya.

"Saya menjangkakan sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri. Saya tidak begitu memikirkan tentang kedudukan tetapi kejuaraan adalah impian saya.

"Kesempurnaan adalah sesuatu yang sering saya mahukan. Saya sentiasa berjuang di gelanggang tetapi setiap kali memukul bola, saya perlu tenang."

Halep memulakan kempen Indian Wells dengan bergaya selepas mengatasi wakil Republik Czech, Kristyna Pliskova, 6-4, 6-4 untuk mengesahkan laluan ke pusingan ketiga kejohanan.