Jaguh pecut negara, Mohd Haiqal Hanafi, memulakan usaha untuk memperbaiki prestasinya dalam acara pecut 100 meter apabila pulang ke pangkuan jurulatih, Mohd Md Kassim, di Johor.

Juara Sukan SEA 2019 itu menyasarkan catatan 10.40 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Jun depan, namun mengakui misi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo adalah satu tugas yang mustahil.

Haiqal meninggalkan program di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, selepas lapan bulan mendapat tunjuk ajar Dwayne Miller.

Pelari berusia 22 tahun itu kemudian mengambil keputusan kembali ke pangkuan Poad selepas mendedahkan tidak serasi dengan program latihan yang diterapkan jurulatih dari Amerika Syarikat berkenaan.

Pemegang rekod kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, juga mengambil langkah sama dan mereka dijangka memulakan sesi latihan pertama di Johor esok.

"Saya gembira sebab balik ke Poad dan saya perlu lebih fokus.

"Saya tidak perlu bermula dari 'kosong', cuma perlu bentuk semula apa yang tertinggal.

"Saya sasar 10.40 saat. Kalau jurulatih anggap ia agak memuaskan, maka (kemampuannya) terbukti.

"Agak sukar untuk layak Sukan Olimpik, lagipun masa semakin suntik tapi kalau kami dapat berlatih dengan bagus untuk menghadapi Terbuka Malaysia ini, ia juga tidak mustahil," katanya kepada wakil Astro Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil.

Khairul Hafiz, Haiqal Hanafi kembali berlatih bersama Poad

Posted by Astro Arena on Tuesday, April 20, 2021


Poad merupakan individu yang bertanggungjawab membentuk Haiqal dan Khairul Hafiz meraih emas reben biru menerusi temasya Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.