Pengendali skuad hoki wanita New Zealand, Mark Hager, mengakui agak terkilan selepas anak-anak buahnya gagal mencatat kemenangan besar ke atas Malaysia walaupun dihidangkan dengan peluang yang amat banyak.

New Zealand mengatasi Malaysia 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B, Liga Hoki Dunia Separuh Akhir di Brussels, semalam.

Sejumlah 11 peluang menerusi pukulan sudut penalti diraih oleh pasukan yang menduduki tangga kelima dunia itu, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan yang membuatkan Hager amat kesal.

“Seperti yang anda lihat, pemain-pemain saya tidak beraksi dengan begitu baik dan skuad Malaysia perlu diberikan pujian kerana berjaya mengelak daripada dibolosi dengan gol yang banyak,” kata Hager.

Sementara itu, jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, lega anak buahnya berjaya bangkit dan memperbaiki kesilapan selepas dibelasah Belgium 9-0 sebelum ini.

Ternyata prestasi Malaysian Tigress kembali memberikan keyakinan bahawa mereka mampu melangkah jauh untuk merebut slot Piala Dunia dalam Sukan Asia, tahun depan.

“Pastinya sukar untuk menang, namun kami berjaya menunjukkan keupayaan sebenar kami.

“Tidak kisah sama ada bertahan atau menyerang, namun kami hanya tewas 1-0, itu realitinya,” ujar Dhaarma.