Atlet petanque lelaki negara, Muhd Hafizuddin Mat Daud, menganggap strategi jurulatih untuk tidak mendedahkan dirinya kepada kejohanan luar sebagai langkah terbaik dalam misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos ini.

Hafizuddin melakar sejarah di Singapura dua tahun lalu apabila menghadiahkan emas pertama sejak sukan itu dipertandingkan pada 2001.

Bagi mengekalkan kejuaraan, jurulatihnya, Zani Lisa Mohamed, mengurangkan pendedahan kejohanan untuk atlet berusia 25 tahun itu bagi memastikan pihak lawan, terutama dari Kemboja, tidak dapat membaca aksi sebenarnya.

"Sekarang, ISN (Institut Sukan Negara) banyak membantu atlet petanque termasuk dalam aspek psikologi.

"Perlahan-lahan kami akan cuba mengikuti apa yang diajar dan kami akan gunakan dalam pertandingan nanti," kata Hafizuddin.

Hanya acara perseorangan lelaki dikecualikan untuk kejohanan luar, sebaliknya atlet bagi acara beregu seperti Saiful Bahri Musmin masih memerlukan pendedahan, termasuk menyertai Piala Dunia di Belgium pada 11 April ini.

"Kami banyakkan strategi semasa dalam perlawanan. Perlu kuatkan mental untuk membuatkan saya lebih matang dalam acara yang saya sertai," kata Saiful.