Pemain ragbi 15 sepasukan negara, Muhammad Hafizin Aiman Halim, mahu menyumbang kudrat dalam perlawanan akan datang bagi menewaskan juara bertahan, Hong Kong, dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC).

Hafizin terpaksa menangguhkan pengajian dan mewakili skuad Bunga Raya atas minatnya yang mendalam terhadap sukan ragbi.

Terdahulu, dia hanya berpeluang membantu pasukannya bagi tempoh 10 minit terakhir dalam pertemuan dengan Korea Selatan yang berakhir dengan keputusan berpihak kepada pasukan lawan 38-16.

Meskipun menghadapi laluan sukar untuk menempatkan diri dalam barisan utama, pemain berusia 21 tahun itu percaya pengalaman bermain dan tunjuk ajar daripada pasukan dapat membantunya memperbaiki prestasinya.

"Sudah tentu saya tertekan untuk tampil dengan prestasi terbaik dan berada dalam skuad utama kerana ia kali pertama. Pemain serius sangat berpengalaman, jadi saya perlu beraksi lebih baik berbanding mereka. Itu yang saya harapkan," katanya.

Bagaimanapun, Hafizin optimis skuad kebangsaan mampu menundukkan juara bertahan itu, sekali gus meraih kemenangan pertama ke atas Hong Kong selepas mengenal pasti kesilapan dalam perlawanan lalu.

"Saya akan berikan kudrat sepenuhnya. Apa yang boleh saya jamin, saya akan cuba menyumbang mata melalui try."