Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menganggap penghijrahannya ke Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim depan sebagai talian hayat buat kariernya di pentas antarabangsa.

Pelumba kelahiran Selangor itu mengakui dia kini bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan jentera baru, bahkan turut perlu membiasakan diri dengan format perlumbaan WSBK yang berbeza dengan format perlumbaan Moto2.

Hafizh Syahrin, yang pernah beraksi dalam kategori perdana Kejuaraan Dunia MotoGP pada 2018, mendedahkan bahawa dia tidak pernah menyangka akan mendapat tawaran daripada pasukan Jepun, MIE Honda Racing, untuk beraksi dalam WSBK pada ketika dia sudahpun mengambil keputusan untuk berehat daripada saingan Moto2 musim depan.

"Sewaktu saya diturunkan ke Moto2 (daripada kategori perdana MotogGP), saya sudah terfikir untuk menyertai WSBK," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Tetapi saya masih mahu mencuba dan mengambil risiko selama dua tahun dalam Moto2 dengan jentera berbeza, namun agak sukar untuk saya bersaing dengan jentera yang sedang konsisten seperti Kalex.

"Sewaktu saya membuat keputusan untuk berehat daripada Moto2, saya tidak terfikir untuk menyertai WSBK tetapi peluang saya dapat kali ini adalah rezeki saya -- ada pasukan datang bertanya dan memberikan tawaran buat saya.

"Jadi, saya tidak berfikir panjang kerana selagi jiwa perlumbaan masih ada, saya memilih untuk meneruskannya ," katanya.