Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengotakan janji untuk bangkit dalam perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan MotoGP di Argentina.

Hafizh Syahrin gagal menamatkan perlumbaan di Qatar apabila terbabas ketika berbaki 12 pusingan, namun dia segera bangkit dengan bukan sahaja menamatkan perlumbaan di pusingan kedua tetapi juga meraih mata di Argentina.

Bermula di petak ke-14, Hafizh mempamerkan tunggangan meyakinkan untuk menamatkan saingan di tempat ke- 10 bagi meraih enam mata.

Sementara itu, kekecewaan terus membelenggu Khairul Idham Pawi apabila sekadar di tempat ke-24 perlumbaan Moto2 yang dimenangi Franco Morbedelli dari Itali.

Dalam perlumbaan Moto3 pula, Adam Norrodin hanya beberapa saat terpisah dengan kedudukan untuk meraih satu mata.

Dia hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-17 manakala rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki, di tempat ke-20. Perlumbaan Moto3 terus dikuasai pelumba dari Sepanyol, Hoan Mir yang mencatat masa 38:33.337 saat.

Sementara itu, pasukan Yamaha Movistar terus mempamerkan aksi cemerlang selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan 1-2 di Argentina.

Ia merupakan kemenangan Maverick Vinales yang kedua berturut-turut selepas muncul juara di GP Qatar sebelum ini.

Bermula dari petak keenam dan ketujuh, Vinales dan Rossi tidak menghadapi sebarang masalah.

Permulaan hambar juara dunia, Marc Marquez, pula berterusan apabila dia terjatuh di pusingan keempat.