Pelumba negara dalam saingan Moto2, Hafizh Syahrin dari pasukan Petronas Raceline Malaysia, menamatkan saingan di GP Movistar de Aragon, Sepanyol, di kedudukan ke-14 sebentar tadi.

Hafizh, 22 tahun, tidak mampu memperbaiki kedudukan meskipun bermula di petak ke-12 untuk menamatkan kedudukan di tempat ke-14, 21.437 saat di belakang juara, Sam Lowes, yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 40 minit 00.885 saat.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih menyumbang dua mata untuk Hafizh yang kini menghuni tempat kelapan kejuaraan dunia Moto2 dengan 103 mata, diekori rapat Lorenzo Baldassarri dengan 99 mata.

Tempat kedua dimenangi Alex Marquez dari pasukan Estrella Galicia dan rakan sepasukannya, Franco Morbidelli, ketiga.

Dalam perkembangan lain, pelumba negara dalam saingan Moto3, Khairul 'SuperKIP' Pawi dan Adam Norrodin, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 dan 23.

Kedudukan tersebut merupakan ulangan sama ketika di GP San Marino, dua minggu lalu.

Ini merupakan kali kelima Khairul Idham gagal memungut sebarang mata selepas menjuarai GP Jerman di Litar Sachsenring pada 17 Julai lalu.