Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang masih belum pulih daripada kecederaan gagal menyerlah apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-23 dalam sesi kelayakan Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez, hari ini.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 hari ini, terus tenggelam ketika masih mengalami masalah lengan, sekali gus dikhuatiri gagal mencuri mata buat dua perlumbaan berturut-turut selepas GP Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, rakan sepasukannya, Johann Zarco, bakal memulakan perlumbaan di petak ketiga dalam perlumbaan sebenar saingan perdana itu, esok.

Juara GP Argentina, Cal Crutchlow dari Repsol Honda Team, muncul pelumba terpantas manakala Dani Pedrosa mengisi petak kedua.

Mereka meninggalkan juara dan naib juara musim lalu, Marc Marquez dan Andrea Dovizioso -- yang bersaing sengit di kedudukan pelumba ketika ini -- dengan masing-masing akan bermula di petak kelima dan kelapan.

Sementara itu, saingan Moto2 -- yang diungguli Lorenzo Baldassarri di petak utama -- menyaksikan Khairul Idham Pawi akan memulakan perlumbaan di petak ke-18, lebih baik daripada tunggangan Muhammad Zulfahmi Khairuddin yang tamat di kedudukan ke-33.

Nasib kurang baik juga dialami pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin, yang akan bermula di petak ke-27 ketika Jorge Martin Almoguera dari Sepanyol muncul selaku pelumba terpantas.