Fabio Quartararo mempamerkan aksi mengagumkan dalam sesi latihan Grand Prix (GP) Catalunya untuk menduduki tangga teratas menjelang sesi latihan bebas ketiga (FP3) dan kelayakan.

Penunggang muda Perancis itu, yang menjalani pembedahan lengan sebelum disahkan cergas untuk berlumba minggu ini, mempamerkan tunggangan konsisten dalam satu pusingan musim ini, termasuk ketika meraih petak depan dalam GP Sepanyol.

Dia sekali lagi mempamerkan kepantasan jentera Petronas Yamaha dalam dua sesi semalam untuk menamatkan sesi latihan pertama di tempat kedua sebelum mendahului sesi kedua.

Juara bertahan, Marc Marquez, yang mengetuai kedudukan pelumba, muncul penunggang terpantas dalam sesi pertama, 0.111 saat untuk mengatasi Quartararo.

Quartararo kemudian mengungguli sesi kedua dengan merekodkan 0.281s lebih pantas daripada wakil Ducati, Andrea Dovizioso.

Dovizioso, yang ketinggalan 12 mata kepada Marquez dalam pemburuan gelaran penunggang, mengharungi hari yang baik apabila meraih tempat kedua dalam sesi kedua selepas di kedudukan keempat dalam sesi pembukaan.

Takaaki Nakagami muncul penunggang terpantas Honda apabila menduduki tempat ketiga, di depan penunggang Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro.

Jorge Lorenzo, yang menjalani beberapa pengubahsuaian ke atas breknya selepas membuat lawatan ke markas pasukan Repsol Honda di Jepun sejak perlumbaan terakhir, menduduki tempat ke-17 dan 13.

Juara Litar Mugello, Danilo Petrucci, berakhir di kedudukan ketujuh, satu kedudukan di belakang Valentino Rossi.

Namun, Alex Rins pula perlu berhempas-pulas untuk perlumbaan di tempat sendiri apabila sekadar meraih kedudukan ke-11 setelah terbabas dalam sesi kedua.