Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, masih belum berpuas hati walaupun meraih pingat emas hatrik dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Asia di Chongqing, China, semalam kerana misinya mahu mencatat ketinggian melebihi 2.23 meter.

Kejayaan terbaru itu menyaksikan dia mengulangi prestasinya pada edisi 2009 dan 2010.

Atlet berusia 32 tahun itu melepasi ketinggian 2.23m dan ia prestasi yang lebih baik berbanding ketika menjuarai Terbuka Thailand dengan catatan 2.20m minggu lalu.

Bagaimanapun, kejayaan itu belum cukup untuk memuaskan atlet kelahiran Sepang itu, yang sedang memburu had kelayakan 2.30m ke Kejohanan Dunia.

"Saya mencapai ketinggian 2.23m, namun terdapat ramai atlet terbaik yang tidak menyertai kejohanan itu.

"Ia pencapaian yang agak baik, namun saya akan mencuba dengan lebih baik lagi dalam siri kedua untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia," katanya.

Hup Wei berpeluang untuk melepasi had kelayakan ke Kejohanan Dunia dalam siri kedua GP Asia di venue sama, Jumaat ini.

Turut berpeluang sama ialah jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, yang meraih tangga keempat dengan jarak 16.32m, semalam.