Pemain golf Selangor, Sheikh Abdul Razak Abdul Rauf dan Winnie Ng Yu Xuan, dari Negeri Sembilan muncul juara kategori junior lelaki dan wanita bawah 18 tahun dalam Kejohanan Golf RPGC-Taiwan Frutose di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) di Ipoh, semalam.

Abdul Razak mencatat 8 birdie dengan 141 pukulan manakala Winnie 150 pukulan. Jelas gembira dengan kejayaan sulungnya, Abdul Razak berhasrat untuk lebih fokus dan lebih berdaya saing dalam sukan ini pada masa hadapan.

"Saya tidak sangka boleh menang. Saya hanya fokus dalam permainan dan cuba yang terbaik. Harap kejayaan ini sebagai pemangkin untuk saya bermain lebih baik dalam kejohanan lain nanti," ujar Abdul Razak.

Sementara itu, bagi Winnie, pelajar Kolej Tuanku Jaafar Mantin Negeri Sembilan, hari kedua barulah beliau dapat rentak dengan mencatatkan 73 pukulan berbanding 77, semalam.

"Saya yakin boleh buat lagi baik cuma 'putting' tidak menjadi. Mungkin disebabkan kepenatan setelah baru sahaja menyertai kejohanan amatur di Kedah," jelas Winnie.

Objektif PRGC-Taiwan Frutose ialah untuk menjadi platform remja dalam menterjemahkan bakat dan pendedahan dalam sukan golf di peringkat negeri dan negara.