Minggu impian Phil Mickelson dalam Kejohanan Golf PGA Amerika Syarikat (AS) diteruskan pagi tadi apabila mengukuhkan kedudukannya untuk muncul juara tertua pentas itu.

Pemain berusia 50 tahun itu bertahan pada awal saingan sembilan lubang terakhir untuk merekodkan 70 pukulan dan mendahului satu pukulan ke atas Brooks Koepka yang mencatat 7 di bawah par.

Dia menyedari sudah tidak mempunyai banyak peluang lagi untuk mengungguli gelaran utama keenamnya, tetapi berikrar untuk tetap fokus dalam permainannya berbanding memikirkan terlalu jauh.

"Saya percaya telah beraksi dengan sangat baik dan saya mempunyai peluang untuk bersaing merebut kejuaraan utama, jadi saya kekal tenang dan langkah ini membantu agar saya tidak terbawa-bawa," kata Mickelson kepada wartawan.

Mickelson membuka jurang di lapangan dengan birdie di empat daripada tujuh lubang pertamanya, kemudian satu lagi di lubang ke-10.

"Saya berasakan saya memiliki gambaran yang sangat jelas dalam setiap pukulan dan saya juga mengayunkan pukulan dengan baik," katanya lagi.

"Saya hanya perlu mempunyai gambaran yang jelas dalam beberapa pukulan."




Tetapi ia agak kabur di lubang ke-12 dan 13 yang menyaksikan Mickelson mencatat bogey dan double-bogey.

Jelas, fokusnya tertumpu terhadap kedua-dua lubang itu.

"Ini hanya contoh ketika saya kehilangan perasaan dan gambaran terhadap pukulan. Jadi saya mula dilanda sedikit kegelisahan dan terburu-buru, saya jadi tersepit tetapi akhirnya dapat mengatasinya," katanya.

Mickelson menamatkan pusingan itu dengan lima par berturut-turut bagi menguasai kedudukan pendahulu menuju hari penentuan esok.

Ia satu minggu yang luar biasa apabila dia berpeluang mengatasi pencapaian Julius Boros yang memenangi PGA 1968 pada usia 48 tahun untuk diangkat selaku pemenang gelaran utama tertua, tetapi Mickelson tidak berminat untuk memikirkan apa yang telah dicapai setakat ini.

"Saya lebih fokus kepada beberapa perkara yang perlu saya lakukan pada malam ini sebelum pusingan akhir esok, saya langsung tidak memikirkan apa yang telah berlaku hari ini," katanya.

"Saya hanya tahu bahawa saya tetap tenang dan saya sangat menghargai sokongan orang ramai."

Kedudukan lima teratas:

Phil Mickelson -7
Brooks Koepka -6
Louis Oosthuizen -5
Kevin Streelman -4
Branden Grace -3
Christiaan Bezuidenhout -3