Corey Conners mengatasi rintangan angin untuk mendahului pusingan pembukaan Kejohanan PGA Amerika Syarikat (AS) dengan kelebihan dua pukulan sambil Brooks Koepka turut menyerlah.

Bagaimanapun, dua lagi pemain utama, Rory McIlroy dan Dustin Johnson bergelut.

Sebelum pusingan pertama di South Carolina itu, catatan terbaik Conners dalam pusingan awal kejohanan utama adalah di kedudukan keenam menerusi 54 lubang dalam Masters di Augusta tahun ini.

Conners kemudian mengorak langkah lebih cemerlang di Kiawah Island Golf Resort yang menyaksikan pemain Kanada itu berdepan rintangan angin untuk mengatur langkah awal dengan lima di bawah par 67.

Tanpa kemenangan sejak dia menikmati kejuaraan Jelajah PGA menerusi Terbuka Texas 2019, Conners hampir melakar catatan sempurna dalam keadaan penuh berliku itu dengan merakamkan enam birdie dengan hanya satu bogey.





Awal musim ini, pemain berusia 29 tahun itu terikat ketika memimpin pusingan pertama Jemputan Arnold Palmer dengan menduduki tempat ketiga -- keputusan terbaiknya musim ini.



"Ini adalah satu pusingan yang sangat istimewa. Saya melakukan banyak perkara dengan sangat baik. "Seperti yang saya katakan sebelumnya, sangat senang melihat beberapa pukulan birdie jarak jauh jatuh ke dalam lubang," kata Conners.

"Ia benar-benar menyuntik keyakinan saya dan berasa seperti mampu melakukannya dengan sangat baik dalam pusingan berikutnya. Banyak putt yang dilakukan berpeluang untuk masuk dan saya juga membuat beberapa penyelamatan yang bagus."

Koepka pula mengakhiri hari pertama itu dengan berkongsi kedudukan kedua di samping Keegan Bradley, Viktor Hovland, Aaron Wise, Sam Horsfield dan Cam Davis.

Koepka dilanda kecederaan sejak memenangi Kejuaraan PGA berturut-turut pada 2019 dan gelaran utama keempat dalam tempoh tiga tahun -- bintang AS itu perlu menjalani pembedahan lutut pada Mac sebelum gagal melepasi kelayakan dalam Masters bulan lalu.

Begitupun, pagi tadi Koepka memperagakan satu persembahan mengagumkan untuk mengatasi permulaan lembab dengan tiga di bawah par 69.

Koepka merakamkan bogey berganda pada awal baki sembilan lubang, namun juara utama empat kali itu hanya tercicir satu pukulan untuk mencatat enam birdie.