Pemain veteran Amerika Syarikat (AS), Phil Mickelson, mengekalkan pendahuluan dalam kedudukan semasa Kejohanan Golf Klasik Desert menerusi satu lagi aksi meyakinkan dengan berbaki satu pusingan.

Mickelson melakukan enam di bawah par 66 untuk mengekalkan kelebihan dua pukulan dalam kejohanan jelajah Persatuan Pemain Golf Profesional (PGA) itu semalam.

Juara 43 kali kejohanan PGA dan pemenang lima kali gelaran utama itu memaparkan aksi hampir sempurna dalam saingan pusingan ketiga di Lapangan Stadium dengan melakukan enam birdie.

Mickelson ke pusingan akhir selepas melakukan catatan 22 di bawah par, meninggalkan wakil Kanada, Adam Hadwin, di tangga kedua.

Hadwin melonjak ke kedudukan itu selepas mengulangi pencapaiannya dalam pusingan pertama dengan melakukan tujuh di bawah par 65.

Dengan hanya merekodkan satu kemenangan dalam kejohanan jelajah, Hadwin melakukan tujuh birdie bagi memberikan tekanan kepada Mickelson.

Dua lagi wakil AS, Adam Long (63) dan Steve Marino (67), turut ke pusingan akhir selaku peserta ketiga dan keempat terbaik.

Juara bertahan dari Sepanyol, Jon Rahm, berkongsi kedudukan ketujuh bersama lima peserta lain selepas menghimpun jumlah 16 di bawah par.

Rahm melakukan 68 pukulan dalam pusingan ketiga dengan enam birdie dan dua bogey di Lapangan Stadium.

Antara nama besar yang tersingkir adalah Sam Saunders yang melakukan catatan terburuknya dalam kejohanan ini (77) dan Patton Kizzire, yang baru sahaja memenangi Kejohanan Terbuka Sony di Hawaii.