Kegagalannya mempertahankan kejuaraan dunia keirin dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda, minggu lalu tidak melunturkan semangat pelumba negara, Azizulhasni Awang, menjelang Sukan Komanwel Gold Coast.

Susulan aksi hambar dalam dua kejohanan berturut-turut, kini Azizulhasni akan membawa cabaran dalam Sukan Komanwel bulan depan.

Sehubungan itu, kesempatan sebulan sebelum temasya bermula akan digunakan sebaik mungkin untuknya memadam kedukaannya.

"Sukan Komanwel akan dilangsungkan empat minggu lagi.

"Minggu pertama saya di Kuala Lumpur ini akan digunakan untuk tujuan pemulihan selain masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

"Saya mempunyai tiga minggu untuk membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Komanwel," kata atlet kelahiran Terengganu itu.

Begitupun, Azizulhasni enggan terbeban dengan kritikan terhadap prestasinya dengan berkata: "Misi di Apeldoorn agak menyedihkan dan saya terkilan kerana gagal mempertahankan jersi pelangi serta tidak dapat beraksi dengan cemerlang dalam acara pecut.

"Ini kerana jika diukur catatan masa (9.77 saat) dalam Kejohanan Berbasikal Trek sebelum ini, saya patut boleh beraksi secara kompetitif.

"Apapun, saya tetap positif dan fokus kepada persiapan Sukan Komanwel.

"Bagi saya, prestasi di Apeldoorn menyuntik motivasi saya untuk terus berusaha keras dan tunjukkan semula kemampuan sebenar," katanya lagi.